“Jangan takut mati, Winnie,” kata Angus Tuck, “Takutlah hidup yang tidak bernyawa.” Petikan ini diambil daripada buku Tuck Everlasting yang telah dijadikan filem. Lebih menarik lagi, kata-kata ini diucapkan oleh watak yang hidup kekal. Dalam cerita itu, keluarga Tuck telah menjadi abadi. James Tuck yang muda telah jatuh cinta dengan Winnie, lalu menggesa dia mencari keabadian juga, supaya mereka boleh bersama selamanya. Tetapi Angus yang bijak memahami bahawa hidup kekal tidak akan menjamin kepuasan hidup.

Budaya kita memberitahu kita bahawa jika kita boleh menjadi sihat, muda dan bertenaga selama-lamanya, kita akan mengalami kebahagiaan sejati. Tetapi sebenarnya kita tidak akan menemui kepuasan. Sebelum Yesus disalibkan, Dia berdoa untuk murid-murid-Nya dan orang percaya pada masa depan. Dia berkata: “Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kauutus” (Yohanes 17:3). Kepuasan kita dalam kehidupan datang daripada hubungan kita dengan Tuhan, apabila kita percaya kepada Yesus. Dia ialah harapan kita untuk masa hadapan dan kegembiraan kita untuk hari ini.

Yesus berdoa agar murid-murid-Nya akan mengambil langkah ke arah kehidupan yang baru: mereka akan mentaati Tuhan (ayat 6), percaya bahawa Yesus diutus oleh Tuhan Bapa (ayat 8) dan mereka menjadi satu (ayat 11). Sebagai seorang umat Kristus, kita menantikan kehidupan abadi pada masa hadapan untuk bersama dengan-Nya. Tetapi sementara kita masih hidup di bumi, kita boleh hidup dalam “kehidupan yang kaya dan berlimpah-limpah” (Yohanes 10:10) seperti yang telah dijanjikan-Nya—di sini, pada masa ini juga.