“Khemah sudah lusuh !” Itulah kata-kata kawan saya Paul, seorang pastor sebuah gereja di Nairobi, Kenya. Sejak tahun 2015, jemaah di situ berbakti dalam satu struktur yang serupa seperti khemah. Sekarang Paul menulis, “Khemah kami sudah koyak dan bocor apabila hujan.

Kata-kata kawan saya tentang kelemahan struktur khemah mereka mengingatkan kita tentang kata-kata rasul Paulus mengenai kehidupan manusia yang lemah. “Walaupun manusia lahiriah kami kian merosot … Selagi kita masih mendiami khemah yang sekarang, kita merintih kerana terbeban” (2 Korintus 4:16; 5:4).

Walaupun kita sudah menyedari kefanaan manusia sejak awal dalam kehidupan, kita menjadi lebih sedar mengenainya apabila usia kita semakin tua. Sesungguhnya, masa akan “mencuri” kekuatan kita. Daya muda manusia terpaksa berserah kepada kenyataan penuaan (rujuk Pengkhutbah 12:1-7). Badan kita—khemah kita—menjadi lusuh.

Tetapi khemah yang rapuh tidak bermaksud kepercayaan yang rapuh. Harapan dan hati tidak akan pudar apabila kita semakin tua. “Dengan demikian, kami tidak tawar hati,” kata rasul (2 Korintus 4:16). Tuhan yang mencipta tubuh kita telah menjadikan kita kediaman-Nya melalui Roh-Nya. Apabila tubuh ini tidak lagi dapat melayani kita, kita akan mempunyai kediaman yang tidak tertakluk kepada segala kerosakan dan kesakitan, kerana “Allah telah menyediakan tempat kediaman bagi kami di syurga, yang tidak diperbuat oleh tangan manusia, dan yang bersifat kekal” (5:1).