Apabila anak lelaki saya memerlukan pembedahan ortopedik (berkaitan dengan pencegahan dan pembaikan kecacatan anggota), saya bersyukur kepada doktor yang melakukan pembedahan. Doktor yang akan bersara ini memberi jaminan kepada kami bahawa dia telah membantu beribu-ribu orang yang mengalami masalah yang sama. Walaupun begitu, sebelum pembedahan, dia telah berdoa kepada Tuhan memohon agar pembedahan itu akan menghasilkan keputusan yang baik. Dan saya sangat bersyukur atas doanya.
Yosafat, seorang pemimpin negara yang berpengalaman juga berdoa semasa menghadapi krisis. Tiga negara telah bergabung untuk menentangnya dan merancang untuk menyerang rakyatnya. Walaupun dia berpengalaman lebih daripada dua puluh tahun, dia tetap berdoa kepada Tuhan untuk bertanyakan tindakan yang perlu diambil. Dia berdoa, “Kami akan berseru kepada-Mu dalam keperitan kami, dan Engkau akan mendengar serta menyelamatkan kami” (2 Tawarikh 20:9). Dia juga berdoa meminta pimpinan Tuhan, “Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi mata kami tertuju kepada-Mu” (ayat 12).
Pendekatan Yosafat yang rendah hati dalam menghadapi cabaran membuka hatinya untuk melihat dorongan dan campur tangan Tuhan, (ayat 15–17, 22). Tidak kira berapa banyak pengalaman kita dalam bidang tertentu, berdoa untuk meminta pertolongan Tuhan akan menghasilkan kebergantungan kita yang suci kepada Tuhan. Ini mengingatkan kita bahawa Dia tahu situasi kita lebih daripada kita, dan pada akhirnya Dia yang berkuasa atas segala sesuatu. Kebenaran ini membuat kita rendah hati—Dia berkenan dengan sikap ini dan akan bertindak balas dan menyokong kita, tidak kira apa pun hasilnya.