Hansle Parchment menghadapi masalah. Dia menaiki bas ke tempat yang salah untuk pertandingan separuh akhir di Olimpik Tokyo dan menghadapi harapan yang tipis untuk sampai ke stadium tepat pada masanya. Tetapi syukur dia bertemu dengan Trijana Stojkovic, seorang sukarelawan yang berkhidmat dalam sukan tersebut. Dia memberinya wang untuk menaiki teksi. Parchment sampai di tempat pertandingan tepat pada masanya dan akhirnya meraih pingat emas dalam pertandingan larian berpagar 110-meter. Kemudian, dia kembali mencari Stojkovic dan berterima kasih atas kebaikan hatinya.
Dalam Lukas 17, kita membaca tentang kisah seorang Samaria yang berpenyakit kusta kembali dan berterima kasih kepada Yesus kerana menyembuhkannya (ayat 15–16). Yesus memasuki sebuah kampung yang Dia bertemu dengan sepuluh orang yang berpenyakit kusta. Mereka meminta Yesus untuk menyembuhkan mereka, dan kesemuanya menerima rahmat dan kuasa-Nya. Mereka berasa gembira kerana telah disembuhkan, tetapi hanya seorang yang kembali kepada Yesus untuk mengucap syukur. Dia “kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat. Dia sujud pada kaki Yesus dan mengucapkan terima kasih” (ayat 15-16).
Setiap hari, kita mengalami rahmat Tuhan dalam pelbagai cara. Keadaan kita mungkin boleh dramatik seperti doa yang dijawab terhadap penderitaan yang berlanjutan atau menerima pertolongan tepat pada waktunya daripada orang asing. Kadangkala, rahmat-Nya boleh datang dalam keadaan yang biasa, seperti cuaca yang baik untuk menyelesaikan satu tugas di luar rumah. Seperti orang Samaria yang berpenyakit kusta itu, ingatlah untuk berterima kasih kepada Tuhan atas kebaikan-Nya kepada kita.