Pada tahun 1859, Joshua Abraham Norton mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Amerika Syarikat. Norton telah memperolehi dan kehilangan—kekayaannya dalam perkapalan San Francisco, tetapi dia menginginkan identiti baru: Maharaja Pertama Amerika. Apabila surat khabar San Francisco Evening Bulletin mencetak pengumuman “Maharaja” Norton, ramai pembaca mentertawakannya. Norton membuat perisytiharan yang bertujuan untuk memperbetulkan penyakit masyarakat, mencetak mata wangnya sendiri, malah menulis surat untuk melamar Ratu Victoria demi menyatukan kerajaan mereka. Dia memakai pakaian seragam tentera diraja yang direka oleh tukang jahit tempatan. Seorang pemerhati berkata Norton kelihatan “seperti seorang maharaja dari setiap sudut.” Akan tetapi, dia bukan. Kita tidak boleh mengada-adakan identiti kita.

Ramai antara kita menghabiskan bertahun-tahun lamanya untuk mencari siapa diri kita dan memikirkan apa nilai yang kita miliki. Kita tersasar, cuba untuk memberi nama atau menentukan diri kita, namun hanya Tuhan yang benar-benar dapat memberitahu kita tentang siapa diri kita yang sebenar. Syukur kepada Tuhan, Dia memanggil kita sebagai anak lelaki dan anak perempuan-Nya apabila kita menerima keselamatan melalui anak-Nya, Yesus. Yohanes menulis, “Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya” (Yohanes 1:12).Identiti ini ialah pemberian Tuhan. Kita adalah anak yang dikasihi-Nya, “orang-orang yang diperanakkan bukan dari darah atau dari daging, bukan pula secara jasmani … melainkan dari Allah” (ayat 13, TB).

Tuhan memberi kita nama dan identiti dalam Kristus. Kita boleh berhenti untuk membuktikan dan membandingkan diri kita sendiri dengan orang lain, kerana Dia memberitahu kita siapa diri kita.