Pada hari Ahad selepas saya mula bekerja sebagai seorang pemimpin belia di sebuah gereja dan bertemu dengan beberapa orang muda di situ, saya bertegur sapa dengan seorang gadis remaja yang duduk bersebelahan dengan ibunya. Ketika saya menyapa gadis yang pemalu itu dengan satu senyuman, saya memanggil namanya dan bertanya khabar. Dia mengangkat kepalanya dan matanya yang cantik berwarna coklat terbeliak memandang saya. Dia juga tersenyum dan berkata dengan suara kecil: “Kamu mengingati nama saya.” Dengan hanya memanggil namanya—seorang gadis yang mungkin berasa tidak penting di gereja yang dipenuhi oleh orang dewasa—saya memulakan hubungan yang berasaskan kepercayaan. Dia berasa dilihat dan dihargai.
Dalam Yesaya 43, Tuhan memakai nabi Yesaya untuk menyampaikan mesej yang sama kepada orang Israel: mereka dilihat dan dihargai. Semasa mereka menjadi tawanan dan sewaktu berada di padang gurun, Tuhan melihat mereka dan mengenal mereka “dengan nama” mereka (ayat 1). Mereka bukan orang asing; mereka ialah milik-Nya. Walaupun mereka mungkin berasa diabaikan, mereka adalah “berharga,” dan Dia “mengasihi” mereka (ayat 4). Seiring dengan peringatan bahawa Tuhan mengenal mereka dengan nama mereka, Dia berkongsi semua yang akan dilakukan-Nya untuk mereka, terutamanya semasa waktu yang sukar. Apabila mereka menghadapi dugaan, Dia akan menyertai mereka (ayat 2). Mereka tidak perlu berasa takut atau gelisah kerana Tuhan mengingati nama mereka.
Tuhan mengetahui nama setiap anak-Nya—dan itu ialah berita baik, terutama ketika kita menghadapi rintangan yang sukar dalam kehidupan.