Para pengkaji di Universiti Emory menggunakan imbasan MRI untuk mengkaji otak beberapa orang nenek. Mereka mengukur reaksi simpati nenek-nenek terhadap imej termasuk cucu mereka, anak mereka yang sudah dewasa, dan seorang budak yang tidak dikenali. Kajian menunjukkan bahawa nenek-nenek ini mempunyai empati yang lebih tinggi terhadap cucu mereka berbanding anak mereka yang sudah dewasa. Ini disebabkan oleh fakta yang dipanggil “faktor comel”—cucu mereka lebih “comel” daripada orang dewasa.
Sebelum kita berkata, “Nah, memang pun!” kita mungkin mempertimbangkan kata-kata James Rilling yang menjalankan kajian tersebut: “Jika cucu mereka tersenyum, [si nenek] merasai kegembiraan budak tersebut. Jika cucu mereka menangis, mereka turut merasai kesakitan dan kedukaan budak tersebut.”
Seorang nabi melukis “imej MRI” tentang perasaan Tuhan ketika Dia melihat umat-Nya: “Dengan penuh sukacita Dia akan bergirang kerana engkau, …kerana kasih-Nya. Dengan sorak-sorai Dia akan bergembira kerana engkau” (Zefanya 3:17). Ada yang menterjemahnya begini , “Kamu akan membuat hati-Nya penuh dengan sukacita, dan Dia akan menyanyi dengan lantang.” Seperti seorang nenek yang bersimpati, Tuhan merasai kesengsaraan kita: “Dalam segala kesesakan mereka, Dia pun turut berasa sesak” (Yesaya 63:9), dan Dia dapat merasai kegembiraan kita: “Kerana TUHAN berkenan akan umat-Nya” (Mazmur 149:4).
Apabila kita berasa kecewa, ingatlah bahawa perasaan Tuhan terhadap kita adalah tulus. Dia bukan Tuhan yang dingin, dan bukan Tuhan yang jauh daripada kita, tetapi Tuhan yang mengasihi dan bergirang dengan kita. Tiba masanya untuk mendekatkan diri kepada-Nya, merasai senyuman-Nya—dan mendengar nyanyian-Nya.