Orang yang bergelut dengan gangguan mental yang dipanggil “derealisasi” atau “depersonalisasi” sering berasa segala sesuatu di sekeliling mereka adalah tidak nyata, bahawa pesakit seolah-olah hidup dalam sebuah mimpi yang tidak dapat bangun. Walaupun mereka yang sering mengalami perasaan ini boleh diberi diagnosis, orang percaya ini ialah pergelutan kesihatan mental yang biasa, terutamanya apabila seseorang mengalami tekanan. Tetapi kadangkala perasaan ini berterusan walaupun kehidupan kelihatan baik. Seolah-olah minda kita tidak dapat mempercayai bahawa perkara baik sebenarnya sedang berlaku.
Alkitab menjelaskan pergelutan yang sama dalam kehidupan umat Tuhan. Setelah mereka mengalami kuasa dan penyelamatan Tuhan, mereka perlu percaya bahawa inilah sesuatu yang nyata, bukan sekadar mimpi. Dalam Kisah Para Rasul 12, apabila malaikat Tuhan membebaskan Petrus dari penjara—dan kemungkinan menghadapi hukuman mati (ayat 2, 4)—rasul digambarkan seperti berada dalam kebingungan, tidak pasti sama ada itu ialah kenyataan (ayat 9-10). Apabila malaikat meninggalkan dia di luar penjara, Petrus akhirnya “sedar” dan tahu bahawa segalanya benar-benar berlaku (ayat 11).
Dalam waktu susah dan senang, ada kalanya sukar untuk percaya sepenuhnya atau memiliki pengalaman bahawa Tuhan sebenarnya bekerja dalam kehidupan kita. Tetapi kita boleh mempercayai-Nya sambil menantikan Dia, kuasa kebangkitan-Nya pada suatu hari kelak tidak akan dapat dinafikan, inilah satu hakikat yang indah. Cahaya Tuhan akan membangkitkan kita daripada tidur ke dalam realiti kehidupan bersama dengan-Nya (Efesus 5:14).