Robert Todd Lincoln, anak lelaki Presiden Amerika Syarikat, Abraham Linchon, telah mengalami tiga peristiwa utama —kematian bapanya sendiri serta pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, James Garfield dan William McKinley.

Tetapi renungkan rasul Yohanes yang berada di keempat-empat peristiwa yang paling penting dalam sejarah: Perjamuan malam terakhir Tuhan Yesus, penderitaan Kristus di Getsemani, penyaliban-Nya, dan Kebangkitan-Nya. Yohanes tahu bahawa menjadi saksi kepada peristiwa-peristiwa ini ialah sebab utama dia hadir pada detik-detik itu. Dalam Yohanes 21:24, dia menulis, “Murid itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menulis semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar.”

Yohanes mengesahkan ini dalam suratnya 1 Yohanes. Dia menulis, “Apa yang telah wujud sejak mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat, dan yang telah kami sentuh dengan tangan―itulah yang kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup” (1:1). Yohanes percaya bahawa memberikan kesaksian tentang Yesus ialah kewajipannya. Mengapakah demikian? “Kami memberitahumu apa yang telah kami lihat dan dengar,” katanya, “supaya kamu juga dapat bersaudara dengan kami” (ayat 3).

Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita mungkin menakjubkan atau membosankan, tetapi Tuhan merancang dalam setiap keadaan itu supaya kita boleh menjadi saksi-Nya. Ketika kita hidup berdasarkan rahmat dan hikmat Kristus, mari kita bersaksi untuk Dia tentang saat-saat yang menakjubkan dalam kehidupan kita.