Sempadan antara Amerika Syarikat dan Kanada adalah yang terpanjang di dunia, yang meliputi 8 kilometer persegi. Biasanya para pekerja akan menebang pokok setinggi 3 meter di kedua belah sempadan supaya garisan sempadan dapat dilihat dengan jelas. Kawasan yang telah dibersihkan tersebut dipanggil ‘the Slash’, ditandai dengan sejumlah 8 ribu penanda batu agar pelawat yang datang akan mengetahui kedudukan garisan sempadan tersebut.

Kawasan penebangan hutan ‘the Slash’ mewakili pemisahan antara kerajaan dan budaya. Sebagai umat yang percaya kepada Yesus, kita menantikan masa apabila Tuhan akan mengubah dan menyatukan semua bangsa di seluruh dunia ini di bawah pemerintahan-Nya. Nabi Yesaya mengatakan bahawa Bait TUHAN akan ditegakkan dan ditinggikan pada masa hadapan (Yesaya 2:2). Semua bangsa dari seluruh dunia akan berkumpul untuk belajar daripada Tuhan dan “melangkah di jalan-jalan-Nya” (ayat 3). Kita tidak lagi perlu bergantung pada usaha manusia yang gagal mengekalkan keamanan dunia. Tuhan selaku Raja kita akan “menjadi hakim antara bangsa-bangsa” dan menyelesaikan semua perbalahan (ayat 4).

Bolehkah anda bayangkan dunia tanpa perpecahan dan konflik? Itulah yang dijanjikan oleh Tuhan! Tanpa mengira perpecahan antara kita, kita boleh “berjalan dalam cahaya TUHAN” (ayat 5) dan memilih untuk setia kepada-Nya sekarang. Kita tahu bahawa Tuhan berkuasa atas segala-galanya, dan suatu hari nanti Dia akan menyatukan umat-Nya di bawah bendera-Nya.