Seorang pegawai memeriksa saya, kemudian saya melangkah masuk ke bangunan penjara, menandatangani buku log pelawat dan terus duduk di lobi yang penuh sesak. Saya berdoa secara senyap, sambil melihat orang sedang terkial-kial dan mengeluh serta budak-budak merungut kerana lama menunggu. Selang sejam kemudian, seorang pengawal bersenjata memanggil nama yang terdapat dalam senarai, termasuk nama saya. Dia membawa kami ke sebuah bilik dan meminta kami duduk. Apabila anak tiri saya duduk di sebelah yang dipisahkan oleh kaca yang tebal dan mula mengangkat gagang telefon, saya sedar bahawa saya amat tidak berdaya. Ketika saya menangis, Tuhan memberi jaminan bahawa anak tiri saya berada dalam jangkauan-Nya.

Dalam Mazmur 139, Daud berkata kepada Tuhan, “Engkau telah menelitiku dan mengenalku …; serta mengerti semua caraku” (ayat 1-3). Pengakuannya tentang Tuhan yang maha mengetahui memberikan keyakinan bahawa Tuhan sentiasa menjaga dan melindungi kita (ayat 5). Oleh sebab terharu oleh keluasan pengetahuan Tuhan dan sentuhan kasih-Nya yang dalam, Daud menanyakan dua soalan secara retorik: “Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu? Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu?” (ayat 7).

Apabila kita atau orang yang kita sayangi berada dalam situasi yang menyebabkan kita berasa putus asa dan tidak berdaya, tangan Tuhan sentiasa kuat dan memberi jaminan. Walaupun kita percaya bahawa kita telah menyimpang terlalu jauh daripada penebusan-Nya yang penuh kasih, kita masih berada dalam jangkauan-Nya.