Pada tahun 155, Polycarp iaitu bapa gereja terawal yang diugut untuk dibakar hidup-hidup kerana imannya kepada Yesus. Dia menjawab, “Selama 86 tahun saya telah menjadi hamba-Nya dan Dia tidak pernah bersalah terhadap saya. Bagaimanakah sekarang saya boleh menghujat raja yang telah menyelamatkan saya?” Tindak balas Polycarp menjadi inspirasi bagi kita ketika kita berhadapan dengan ujian yang mencabar iman kita kepada Yesus, yakni Raja kita.

Beberapa jam sebelum penyaliban Yesus, Petrus dengan berani berjanji untuk setia kepada Yesus, “Aku rela mati untuk-Mu” (Yohanes 13:37). Tetapi Yesus yang lebih mengenali Petrus, menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali!” (ayat 38). Tetapi selepas kebangkitan Yesus, Petrus yang telah menyangkal-Nya mula melayani-Nya dengan berani dan akhirnya memuliakan Dia melalui kematiannya (lihat ayat 21:16-19). Adakah anda Polycarp atau Petrus? Secara jujur, kebanyakan kita adalah lebih mirip kepada Petrus, gagal menunjukkan keberanian kita sama ada dengan bersuara atau bertindak sebagai orang yang percaya kepada Yesus. Kegagalan kita—tidak kira sama ada di dalam kelas, pejabat, atau di bilik rehat—tidak seharusnya kekal mendefinisikan siapa kita. Apabila kita gagal, kita harus bangkit berdoa dan kembali kepada Yesus yang telah mati dan hidup untuk kita. Dia akan menolong kita untuk terus setia kepada-Nya dan hidup dengan berani demi Dia hari demi hari, walaupun berada dalam situasi yang sukar.