Baru-baru ini saya terjumpa satu perkataan yang sangat membantu, iaitu wintering (bermusim sejuk). Seperti alam semula jadi yang menggunakan musim sejuk untuk memperlahankan masa yang berlalu, penulis Katherine May menggunakan perkataan ini untuk mengingatkan kita tentang keperluan untuk berehat ketika mengalami musim “sejuk” dalam kehidupan kita. Analogi ini sangat membantu selepas saya kehilangan bapa akibat kanser, yang telah memerah tenaga saya selama berbulan-bulan. Oleh sebab saya tidak suka dipaksa untuk berehat, saya pun cuba melawan musim “sejuk” dalam kehidupan saya dan berdoa agar musim panas akan tiba. Tetapi saya mendapati bahawa banyak yang saya perlu belajar.

Pengkhutbah mengatakan bahawa “segala sesuatu ada musimnya, dan bagi sesuatu apa pun di bawah kolong langit ada waktunya”—ada waktu untuk menanam dan menuai, ada waktu untuk menangis dan ketawa, ada waktu untuk meratap dan menari (3:1-4). Saya telah membaca ayat ini selama bertahun-tahun tetapi hanya mula memahaminya semasa melalui musim “sejuk” dalam kehidupan saya. Walaupun kita tidak dapat mengawal peralihan musim, setiap musim adalah tidak kekal dan akan berlalu. Walaupun kita tidak begitu memahami apa yang sedang berlaku, Tuhan sedang melakukan sesuatu yang penting dalam diri kita (ayat 11). Saya masih meratap, tetapi selepas itu berlalu, waktu menari akan tiba. Seperti tanaman dan binatang yang tidak melawan musim sejuk, saya perlu berehat dan membiarkannya kerja pemulihan berlaku dalam diri saya.

“Ya Tuhan,” seorang kawan berdoa, “bolehkah Engkau melakukan sesuatu yang baik kepada Sheridan ketika musim yang sukar ini?”. Doa itu lebih baik berbanding dengan doa saya. Dalam tangan Tuhan, musim mempunyai tujuannya yang tertentu. Serahkan setiap musim itu kepada-Nya.