Pada tahun 2010, pulau Sumatra di Indonesia telah dilanda tsunami yang mengorbankan lebih daripada 400 orang. Sebenarnya kematian tersebut boleh dielakkan atau jumlahnya dapat dikurangkan sekiranya sistem amaran tsunami berfungsi dengan baik. Jaringan alat pengesan tsunami didapati telah terpisah dan dihanyutkan ke laut.

Yesus mengatakan bahawa para pengikut-Nya bertanggungjawab untuk saling mengingatkan tentang perkara yang boleh membahayakan mereka secara rohani—termasuk dosa tanpa pertaubatan. Dia menerangkan tentang satu proses, jika seorang saudara telah terkesan akibat perbuatan dosa daripada saudara yang lain, dia boleh menegur perbuatan saudaranya secara peribadi dengan rendah hati dan dengan doa (Matius 18:15). Jika dia bertaubat, maka konflik itu dapat diselesaikan dan hubungan dipulihkan. Jika dia enggan bertaubat, maka “seorang atau dua orang” boleh cuba membantu menyelesaikan konflik (ayat 16,TB). Sekiranya dia masih tidak mahu bertaubat, maka isu tersebut boleh dibawa ke hadapan “jemaah” (ayat 17). Jika orang yang bersalah itu masih tidak mahu bertaubat, maka dia boleh dikeluarkan daripada persekutuan jemaah, tetapi masih boleh didoakan dan dilayani dengan kasih Kristus.

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, marilah kita berdoa untuk hikmat dan kekuatan yang diperlukan untuk memperingatkan sesama sendiri tentang bahaya dosa tanpa pertaubatan, serta sukacita yang dinikmati apabila hubungan kita dengan Bapa dan orang beriman yang lain dipulihkan semula. Yesus akan berada “di situ bersama [kita]” (ayat 20).