Semasa saya sedang membelek-belek beberapa sampul surat, saya ternampak satu pelekat yang tertulis, “Saya telah menjalani ujian mata.” Saya teringat anak lelaki saya yang masih berusia 4 tahun dengan bangganya memakai pelekat tersebut selepas menahan titisan ubat mata yang menyengat. Disebabkan oleh otot mata yang lemah, dia perlu meletakkan satu tampalan untuk menutup matanya yang kuat selama beberapa jam setiap hari—agar matanya yang lemah boleh menjadi lebih kuat. Dia juga harus menjalani pembedahan. Walaupun dia menghadapi setiap cabaran satu persatu, dia selalu mencari kasih sayang daripada kami kerana kami ibu bapanya, serta bergantung pada Tuhan dengan iman seperti kanak-kanak. Melalui cabaran-cabaran ini, dia membina ketabahan dalam dirinya.

Pengalaman mengharungi ujian dan penderitaan biasanya akan mengubah seseorang, tetapi rasul Paulus melihat lebih jauh. Dia mendorong kita, “bersukacita dengan penderitaan kita” sebab melaluinya kita akan membina ketabahan. Dengan ketabahan datanglah budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan (Roma 5:3-4). Paulus memang biasa menghadapi pelbagai ujian—bukan sahaja kapalnya karam tetapi juga dipenjarakan kerana imannya. Dia tetap menulis kepada orang-orang yang beriman di Roma bahawa “harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus” (ayat 5). Dia tahu bahawa Roh Tuhan menguatkan harapan kita dalam Yesus apabila kita percaya kepada-Nya.

Apa pun cabaran yang anda hadapi, ketahuilah bahawa Tuhan akan mencurahkan rahmat dan kasih-Nya kepada anda.