Debbie Stephens Browder, seorang guru yang bersara dan sedang dalam misi untuk meyakinkan seramai mungkin orang untuk menanam pokok. Sebabnya? Kepanasan. Suhu cuaca yang melampau ialah penyebab kematian yang utama di Amerika Syarikat. Sebagai tindak balas dia berkata, “Saya akan mula tanam pokok”. Pokok boleh memberikan teduh yang berkesan kepada komuniti daripada suhu yang panas. “Ini ialah soal hidup dan mati. Bukan sekadar mencantikkan persekitaran komuniti.”

Fakta bahawa tempat teduh bukan sahaja selesa tetapi berpotensi untuk menyelamatkan nyawa, memang sudah pun diketahui oleh pemazmur yang menulis Mazmur 121; di Timur Tengah, risiko terkena strok matahari ialah perkara yang biasa berlaku. Kenyataan ini memberi gambaran yang mendalam dan hidup dalam huraian pemazmur bahawa Tuhan ialah tempat yang paling selamat. Di bawah naungan-Nya, “matahari tidak akan menyakiti [kita] sewaktu siang, atau bulan sewaktu malam” (ayat 6).

Ayat ini bukan bermakna bahawa orang yang percaya kepada Yesus boleh kebal daripada kesakitan atau kehilangan dalam kehidupan ini (atau menganggap suhu panas itu tidak berbahaya!). Lagipun Kristus memberitahu kita, “Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan” (Yohanes 16:33). Namun metafora yang diberikan Tuhan bahawa Dia ialah pelindung kita bermaksud, apa pun yang akan melanda kita, kehidupan kita akan sentiasa dalam perhatian-Nya (Mazmur 121:7-8). Kita boleh mendapat ketenangan dengan mempercayai-Nya dan tiada yang boleh memisahkan kita daripada kasih-Nya (Yohanes 10:28; Roma 8:39).