Raut wajah remaja itu menunjukkan kebimbangan dan rasa malu. Pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, kehebatannya sebagai seorang peluncur ais memang tiada tandingan. Sebagai pemenang bagi beberapa siri kejohanan, dia dijangka akan memenangi pingat emas. Tetapi keputusan ujian dadah mendapati dia mengambil bahan terlarang. Oleh sebab dibebani dengan jangkaan dan kutukan orang awam, dia terjatuh beberapa kali semasa program luncur ais bebasnya dan gagal berada di atas platform kemenangan—tanpa pingat. Sebelum skandal tersebut, dia menunjukkan kemahiran artistik dan kreativiti di bidang luncur ais. Namun setelah dituduh melanggar peraturan, impiannya terus musnah.

Sejak zaman awal manusia, Tuhan telah menunjukkan bahawa pentingnya untuk taat kepada-Nya sambil kita bebas mengikut kehendak sendiri. Ketidaktaatan membawa kesan buruk bagi Adam, Hawa dan setiap kita kerana dosa membawa kehancuran dan kematian kepada dunia kita (Kejadian 3:6-19). Hal itu tidak seharusnya terjadi. Tuhan telah memberitahu Adam, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok” kecuali satu (2:16-17). Oleh sebab berharap bahawa “mata [mereka] akan terbuka, dan [mereka] akan menjadi seperti Allah”, maka mereka pun memakan daripada “pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat” (3:5,TB; 2:17). Dosa, rasa malu dan maut juga turut serta.

Tuhan dengan murah hati memberikan kebebasan dan banyak perkara yang baik untuk kita nikmati (Yohanes 10:10). Dalam kasih, Dia juga memanggil kita taat kepada-Nya demi kebaikan kita. Semoga Dia menolong kita memilih ketaatan agar dapat menikmati kehidupan yang penuh kegembiraan dan bebas daripada rasa malu.