Peringatan tentang betapa indah dan singkatnya sebuah kehidupan dapat dilihat di halaman rumah saya. Pada musim bunga yang lalu, isteri saya menanam pokok moonflower. Pokok bunga ini dinamakan demikian kerana bunganya berwarna putih, bersaiz besar, berbentuk bulat, dan menyerupai bulan purnama. Setiap bunganya akan mekar untuk satu malam dan kemudian layu di bawah sinar matahari yang terang pada keesokan harinya. Lepas itu bunga ini tidak akan mekar semula. Tetapi pokok bunga itu tumbuh dengan subur, dan setiap senja akan mempamerkan satu perarakan bunga-bunga yang indah. Kami suka melihatnya setiap hari, sambil memikirkan apa keindahan baru yang akan menyambut kami nanti.

Bunga-bunga yang cepat layu ini mengingatkan kita tentang kebenaran Kitab Suci. Rasul Petrus mengimbas kembali kata-kata nabi Yesaya dan menulis, “kerana kamu telah dilahirkan semula, bukan daripada benih yang dapat dibinasakan tetapi daripada yang tidak mungkin dimusnahkan, melalui firman Allah yang hidup kekal selama-lamanya. Kerana, ’Semua manusia umpama rumput, dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang; rumput layu, dan bunga gugur’ ” (1 Petrus 1:23-24). Tetapi dia memberi jaminan bahawa firman Tuhan kekal selama-lamanya! (ayat 25).

Seperti bunga-bunga dalam taman, kehidupan kita di dunia adalah singkat berbanding dengan kekekalan. Tetapi Tuhan telah memberikan keindahan dalam hidup kita yang singkat. Melalui berita baik tentang Yesus, kita ada permulaan yang baru bersama-Nya dan percaya pada janji-Nya tentang kehidupan kekal. Apabila matahari dan bulan hanya tinggal memori, kita masih tetap memuji-Nya.