Pada musim panas selepas saya tamat pengajian di universiti, seorang rakan sekelas meninggal secara tiba-tiba. Saya baru bertemu dengannya beberapa hari sebelum itu dan dia kelihatan sihat. Saya dan rakan sekelas saya masih muda, dan kami berada di puncak kehidupan kami. Kami baru sahaja berjanji untuk menjadi seperti adik-beradik.
Apa yang paling saya ingat tentang kematian rakan sekelas saya ialah menyaksikan bagaimana rakan-rakan sekelas yang lain mempraktikkan “ibadat yang murni dan tulen”, seperti dikatakan oleh rasul Yakobus (Yakobus 1:27). Mereka berperanan sebagai abang kepada adik perempuan mendiang. Mereka menghadiri majlis perkahwinannya dan melawat bayinya beberapa tahun selepas abangnya meninggal dunia. Ada juga memberi dia telefon bimbit supaya senang dihubungi.
Menurut Yakobus, ibadat yang murni dan tulen adalah “menolong anak yatim piatu dan balu yang menanggung kesusahan” (ayat 27). Walaupun adik perempuan rakan saya bukanlah benar-benar anak yatim, tetapi dia sudah kehilangan abangnya. “Abang-abang” yang baru telah mengisi ruang kosong itu.
Itulah yang boleh dilakukan oleh setiap kita yang ingin mengamalkan kehidupan yang benar dan murni dalam Yesus—“lakukanlah firman itu “ (ayat 22), termasuklah menjaga orang yang ada keperluan (2:14-17). Iman kita kepada-Nya mendorong kita menjaga mereka yang lemah sambil menjaga diri kita sendiri daripada pengaruh negatif dunia melalui pertolongan Tuhan. Itulah ibadat murni yang diterima oleh Tuhan.