Baru-baru ini, saya berada di sebuah tempat yang telah banyak kali ditonton dalam TV dan filem: Hollywood, California. Dari tingkap hotel, saya dapat lihat huruf-huruf besar perkataan itu yang berwarna putih dengan bangganya merentasi kaki bukit Los Angeles terkenal itu.
Kemudian saya menyedari bahawa di bahagian bawah sebelah kiri huruf-huruf tersebut, ada satu kayu salib yang menonjol. Saya tidak pernah melihat kayu salib itu dalam mana-mana filem. Ketika saya keluar dari bilik hotel, beberapa orang pelajar dari sebuah gereja berdekatan datang berkongsi tentang Yesus kepada saya.
Kita kadang-kadang mungkin menganggap bahawa Hollywood merupakan pusat bagi segala bentuk duniawi, yang sama sekali bertentangan dengan kerajaan Tuhan. Namun jelas bahawa Yesus bekerja di tempat itu dan kehadiran-Nya membuatkan saya kagum.
Orang-orang Farisi sentiasa terkejut dengan tempat Yesus menunjukkan diri-Nya. Dia tidak bersama dengan orang yang dianggap “sesuai” dalam jangkaan mereka. Sebaliknya, Markus 2:13-17 mengatakan bahawa Dia meluangkan masa bersama dengan “pemungut cukai dan orang berdosa” (ayat 15), orang-orang yang biasa dipanggil sebagai “Kotor!” Tetapi di sanalah Yesus bersama dengan orang-orang yang paling memerlukan-Nya (ayat 16-17).
Lebih daripada 2 ribu tahun kemudian, Yesus terus menanam mesej-Nya tentang harapan dan keselamatan di tempat-tempat yang tidak dijangka, dalam kalangan orang-orang yang tidak dijangka. Dia memanggil dan melengkapkan kita untuk melibatkan diri dalam misi tersebut.