Di akhir hayatnya, John M. Perkins memberi pesanan kepada orang-orang yang bakal ditinggalkannya. Perkins, yang terkenal kerana menyokong perdamaian antara kaum, berkata, “Bertaubat adalah satu-satunya jalan untuk kembali kepada Tuhan. Bertaubatlah atau kamu akan binasa.”

Kata-kata ini adalah seperti bahasa yang digunakan oleh Yesus dan ramai lagi dalam Alkitab. “Jika kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga” (Lukas 13:3). Rasul Petrus berkata, “Bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan” (Kisah Para Rasul 3:19)

Dalam Alkitab, kita juga membaca bahawa ada lagi seorang yang berharap agar umat Israel kembali kepada Tuhan. Dalam kata-kata perpisahannya “kepada seluruh orang Israel” (1 Samuel 12:1), Samuel yang merupakan seorang nabi, imam dan hakim berkata, “Jangan takut, memang kamu telah melakukan segala kejahatan ini, tetapi jangan berhenti mengikuti TUHAN. Beribadatlah kepada TUHAN dengan segenap hatimu” (ayat 20). Inilah pesanannya untuk bertaubat—berpaling daripada kejahatan dan mengikut Tuhan dengan segenap hati.

Setiap kita telah berdosa dan tidak mencapai piawaian-Nya. Itulah sebabnya kita perlu bertaubat, yang bermaksud berpaling daripada dosa dan kembali kepada Yesus, yang memberi pengampunan dan kekuatan kepada kita untuk mengikuti-Nya. Mari kita perhatikan kata-kata John Perkins dan Samuel, orang yang telah menyedari Tuhan boleh menggunakan kuasa pertaubatan untuk mengubah kita menjadi orang yang boleh dipakai-Nya untuk kemuliaan-Nya.