Walaupun saya tahu bahawa bekalan elektrik terputus di rumah kami selepas berlakunya ribut petir (kesulitan yang sering berlaku di kawasan kejiranan kami), saya tetap memetik suis lampu secara spontan apabila saya memasuki bilik saya. Sudah tentu tiada apa-apa yang terjadi. Saya masih diselubungi kegelapan.

Pengalaman tersebut—iaitu menjangka lampu akan menyala walaupun saya tahu bahawa sambungan kepada sumber kuasa terputus—betul-betul mengingatkan saya tentang satu kebenaran rohani. Terlalu banyak masa kita menjangka akan menerima kuasa walaupun kita gagal untuk bergantung pada Roh Kudus.

Dalam 1 Tesalonika, Paulus menulis tentang cara Tuhan menyampaikan Injil “bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan kuasa, dengan Roh Kudus dan dengan keyakinan kukuh” (1:5). Apabila kita menerima pengampunan Tuhan, orang percaya secara langsung memiliki akses kepada kuasa Roh-Nya dalam kehidupan kita. Kuasa tersebut menyemai ciri-ciri seperti kasih, sukacita, damai sejahtera dan kesabaran dalam diri kita (Galatia 5:22-23) selain memperkasakan kita dengan kurnia untuk melayani jemaah, termasuklah mengajar, menolong dan membimbing (1 Korintus 12:28).

Paulus telah memberikan amaran kepada para pembacanya bahawa mereka juga boleh “padamkan kemarakan api Roh Kudus” (1 Tesalonika 5:19). Kita mungkin menyekat kuasa Roh Kudus apabila kita tidak mengendahkan hadirat Tuhan atau menolak Dia yang menimbulkan keinsafan kita akan dosa (Yohanes 16:8). Namun begitu, kita tidak perlu hidup dalam keadaan terputus hubungan dengan Tuhan. Kuasa Tuhan sentiasa ada bagi anak-anak-Nya.