Ini merupakan satu permainan yang menyeronokkan dalam kumpulan belia, tetapi ia memberikan kita suatu pengajaran: belajarlah untuk mengasihi orang yang sedia ada, bukannya bertukar sesama kita. Setiap orang diminta duduk dalam sebuah bulatan besar, kecuali seorang yang berdiri di tengah-tengah bulatan tersebut. Seterusnya orang yang berdiri itu akan bertanya kepada salah seorang yang duduk, “Adakah anda mengasihi sesama anda?” Orang yang duduk itu boleh memberi dua jawapan: ya atau tidak. Dia diberi pilihan sama ada dia mahu bertukar sesamanya dengan orang lain atau tidak.
Alangkah baiknya jika kita juga dapat memilih “sesama” kita dalam kehidupan sebenar kita. Terutamanya apabila kita mempunyai seorang rakan sekerja yang kita tidak dapat bergaul dengan mesra, ataupun seorang jiran yang suka memotong rumput laman pada waktu yang tidak sesuai. Namun begitu, lebih kerapnya kita harus belajar untuk hidup dengan sesama kita yang cerewet.
Apabila orang Israel masuk ke tanah perjanjian, Tuhan telah memberi mereka arahan-arahan yang penting tentang bagaimana menjalani kehidupan sebagai umat-Nya. Mereka diberitahu untuk “kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri” (Imamat 19:18), termasuklah jangan sekali-kali menyebar fitnah atau khabar angin, jangan mengambil kesempatan terhadap sesama kita, serta memberikan teguran secara berterus terang kepada sesama kalau kita mempunyai sebarang masalah dengan mereka (ayat 9-18).
Sungguhpun sukarnya untuk mengasihi setiap orang, tetapi tidak mustahil untuk melayani orang lain dengan cara yang penuh kasih apabila Yesus bekerja dalam hati kita dan melalui kita. Tuhan akan membekali kita hikmah dan keupayaan untuk berbuat sedemikian apabila kita berusaha untuk menjalani hidup dengan memperlihatkan jati diri kita sebagai umat-Nya.