Pernahkah anda melakukan sesuatu dalam kemarahan dan kemudiannya berasa sesal? Ketika anak lelaki saya bergelut dengan ketagihan dadah, saya telah meluahkan kata-kata keras mengenai pilihan-pilihan dalam hidupnya. Kemarahan saya itu mematahkan semangatnya. Namun, akhirnya dia telah bertemu dengan orang-orang percaya yang menggalakkan dia menghargai hidup dan berpegang pada harapan, tidak lama kemudian dia pun terlepas daripada ketagihannya.
Bahkan seseorang tokoh iman seperti Musa juga pernah melakukan sesuatu yang kemudian disesalinya. Ketika orang Israel berada di padang gurun dan mengalami masalah kekurangan air, mereka merungut dengan keras. Oleh itu Tuhan memberikan arahan yang khusus kepada Musa dan Harun: “Berbicaralah kepada bukit batu itu di hadapan mata mereka agar bukit batu itu mengeluarkan airnya” (Bilangan 20:8). Akan tetapi, dalam kemarahan Musa bertindak balas dengan tidak memberi pujian kepada Tuhan atas mukjizat tersebut tetapi kepada dirinya sendiri dan Harun: “Dengarlah, hai orang derhaka! Apakah kami harus mengeluarkan air bagimu dari bukit batu ini?” (ayat 10). Kemudian dia secara langsung mengingkari arahan Tuhan dengan “mengangkat tangannya dan memukul bukit batu itu dua kali dengan tongkatnya” (ayat 11).
Walaupun air mengalir keluar dari bukit batu tersebut, akibatnya amat tragis. Musa dan Harun dilarang masuk ke tanah yang telah dijanjikan Tuhan untuk umat-Nya. Namun Tuhan masih berbelas kasihan dengan membenarkan Musa melihat tanah tersebut dari jauh (27:12-13).
Seperti halnya dengan Musa, Tuhan masih berbelas kasihan kepada kita apabila kita tidak taat kepada-Nya. Melalui kematian dan kebangkitan Yesus, Tuhan telah menawarkan kita pengampunan dan harapan. Tanpa mengira keadaan silam kita atau apa yang telah kita lakukan, Tuhan akan membimbing kita memperoleh kehidupan sekiranya kita kembali kepada-Nya.