Penduduk Olten, Switzerland telah dikejutkan dengan hujan kepingan coklat yang telah meliputi seluruh bandar. Kerosakan sistem pengalihan udara di kilang coklat yang berdekatan telah menyebabkan serbuk koko tersembur ke udara dan kawasan tersebut ditaburi zat manisan. Bagi penggemar-penggemar coklat, salutan coklat tersebut kedengaran seperti impian yang menjadi kenyataan.

Sungguhpun coklat tidak membekalkan keperluan khasiat yang cukup kepada seseorang, Tuhan telah membekali orang Israel dengan curahan syurgawi yang mampu berbuat sedemikian. Apabila mereka dalam perjalanan merentasi padang gurun, mereka mula bersungut-sungut tentang pelbagai jenis makanan yang ditinggalkan di Mesir. Sebagai tindak balas, Tuhan berfirman bahawa Dia akan “menghujani mereka dengan roti dari langit” untuk menampung keperluan mereka (Keluaran 16:4). Setiap hari apabila embun pagi menjadi kering, apa yang tertinggal ialah lapisan makanan yang nipis. Lebih kurang dua juta orang Israel telah diarahkan untuk memungut makanan secukupnya untuk keperluan harian mereka. Selama empat puluh tahun mengembara di padang gurun, mereka dipelihara oleh pembekalan Tuhan yang ajaib dalam bentuk manna.

Pengetahuan kita tentang manna adalah amat terhad. Apa yang kita tahu tentangnya ialah “besarnya seperti ketumbar, warnanya putih, dan rasanya seperti kuih bercampur madu” (ayat 31). Walaupun manna kedengaran tidak sedap seperti coklat, pembekalan Tuhan yang indah untuk umat-Nya adalah amat jelas. Manna membawa kita kepada Yesus yang menggelar diri-Nya sebagai “roti hidup” (Yohanes 6:48) yang mampu menampung kehidupan seharian kita dan memberi hidup kekal kepada kita (ayat 51).