Orville dan Wilbur Wright tidak mempunyai lesen juruterbang ataupun melanjutkan pelajaran di universiti. Mereka merupakan mekanik basikal dengan impian dan keberanian untuk cuba melakukan penerbangan. Pada 17 Disember 1903, mereka bergilir-gilir mengemudikan Wright Flyer mereka dalam empat penerbangan yang berasingan. Masa penerbangan yang paling lama hanyalah seminit, tetapi peristiwa tersebut telah mengubah dunia kita untuk selama-lamanya.
Petrus dan Yohanes juga tidak mempunyai sebarang lesen untuk berkhutbah mahupun pernah menghadiri sebarang seminari. Mereka merupakan dua orang nelayan yang dipenuhi oleh Roh Kudus dan dengan berani mengkhabarkan berita baik: “Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita” (Kisah Para Rasul 4:12).
Jiran-jiran adik-beradik Wright tidak serta-merta menghargai pencapaian mereka. Surat khabar kampung halaman mereka tidak mempercayai cerita mereka dan menyatakan bahawa sekalipun peristiwa itu benar berlaku, masa penerbangan itu terlalu singkat. Hanya beberapa tahun selepas mereka membuat ujian penerbangan dan kerja-kerja memperbaiki reka bentuk kapal terbang mereka, barulah orang ramai mula mengiktiraf apa yang sebenarnya tercapai oleh mereka.
Pemimpin-pemimpin agama tidak menyukai Petrus dan Yohanes, dan kedua-duanya telah diarahkan untuk berhenti mengkhabarkan Yesus kepada orang ramai. Petrus menjawab Mustahil, “kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu” (ayat 20).
Anda mungkin tidak diterima oleh orang lain. Bahkan anda juga mungkin dipandang rendah oleh orang yang diterima ramai. Tidak apa. Jika anda memiliki Roh Kudus, anda bebas untuk hidup dengan berani demi-Nya!