Ketika David Willis yang berada di tingkat atas Kedai Buku Waterstones turun ke tingkat bawah, dia mendapati lampu kedai sudah padam dan pintu telah dikunci. Dia terperangkap di dalam kedai tersebut! Ketika berasa cemas, dia membuka Twitter lalu mentwit: “Hai @Waterstones. Saya sudah terkunci di dalam kedai anda di Trafalgar Square selama dua jam. Tolonglah lepaskan saya.” Tidak lama selepas ciapan Twitter itu, dia diselamatkan.

Alangkah baiknya jika kita mempunyai cara tertentu untuk memohon pertolongan pada waktu kesukaran. Yesaya berkata bahawa ada Peribadi yang akan menyahut seruan kita apabila kita terperangkap dalam masalah yang timbul akibat perbuatan kita sendiri. Rasul itu menulis bahawa Tuhan telah mendakwa umat-Nya yang melalaikan ibadat keagamaan mereka. Mereka menjalankan ibadat mereka atas nama keagamaan tetapi menopengi penindasan mereka terhadap orang miskin dengan upacara-upacara kosong yang mementingkan diri mereka sendiri (Yesaya 58:1-7). Hal sedemikian tidak diperkenan oleh Tuhan. Maka Tuhan mengalihkan pandangan-Nya daripada mereka dan tidak mahu mendengar doa-doa mereka (1:15). Tuhan memerintahkan mereka bertaubat, mengambil tindakan yang praktikal dan mengambil berat terhadap orang lain (58:6-7). Jika mereka berbuat sedemikian, Tuhan berfirman, “Pada waktu itulah engkau akan berseru dan TUHAN akan menjawab, engkau akan berteriak meminta tolong dan Dia akan berfirman, ‘Ini Aku!’ Jika engkau menyingkirkan dari tengah-tengahmu kuk, jari yang menuding-nuding, dan perkataan yang jahat” (ayat 9).

Marilah kita menghulurkan tangan kepada mereka yang miskin dengan berkata kepada mereka: “Aku ada di sini.” Sebab Tuhan mendengar seruan kita yang meminta tolong dan berfirman kepada kita, “ Aku ada di sini.”