Tiada apa-apa yang mampu menarik Aakash keluar daripada kemurungannya. Aakash mengalami cedera parah dalam nahas lori dan dibawa ke sebuah hospital mubaligh di Asia Barat Daya. Lapan pembedahan dijalankan untuk memulihkan tulang-tulangnya yang patah, tetapi Aakash tidak lalu untuk makan. Aakash kemudiannya dilanda kemurungan. Keluarganya bergantung kepadanya sebagai pencari nafkah, tetapi dia tidak mampu melakukannya lagi. Akibatnya, dunia Aakash menjadi semakin gelap.

Pada suatu hari, seorang pelawat membacakan kitab Yohanes kepada Aakash dalam bahasanya dan berdoa untuk dia. Hati Aakash tersentuh oleh harapan melalui Yesus untuk menerima pengampunan dan penyelamatan-Nya. Dia menaruh kepercayaannya kepada Tuhan. Tidak lama kemudian Aakash tidak murung lagi. Apabila dia kembali ke rumahnya, dia takut pada mulanya untuk menyatakan imannya yang baharu. Namun akhirnya dia memberitahu keluarganya tentang Yesus—enam anggota keluarganya turut percaya kepada-Nya!

Injil Yohanes merupakan pancaran cahaya dalam dunia yang penuh kegelapan. Dalam Injil Yohanes, kita membaca bahawa “setiap orang yang percaya kepada (Yesus) tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (3:16). Kita juga tahu bahawa “sesiapa yang mendengar kata-kata (Yesus) dan percaya kepada (Tuhan) akan mendapat hidup yang kekal” (5:24). Selain itu, kita juga mendengar Yesus berkata, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi” (6:35). Sesungguhnya, “orang yang berbuat benar merapati cahaya” (3:21).

Kesukaran yang kita hadapi mungkin besar, tetapi Yesus tetap lebih besar. Dia telah datang untuk memberi kita “hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah” (10:10). Seperti Aakash, semoga anda juga menaruh iman anda dalam Yesus, iaitu harapan dunia dan sumber cahaya bagi umat manusia.