Dari tangga pilin ke bilik tidur mewah, dari lantai kayu keras ke permaidani indah, dari bilik dobi yang besar ke pejabat yang teratur dengan baik, ejen harta tanah menunjukkan sebuah rumah yang berpotensi kepada sepasang suami isteri yang muda. Di setiap sudut yang dikunjungi, mereka tidak henti-henti memuji keindahan rumah tersebut: “Anda telah memilih rumah yang terbaik untuk kami. Rumah ini menakjubkan!” Kemudian ejen tersebut memberikan jawapan yang dianggap agak luar biasa oleh pasangan tersebut tetapi benar. “Saya akan menyampaikan pujian anda kepada pembina rumah ini. Pembina rumah inilah yang layak dipuji; bukannya rumah ini atau orang yang menunjukkannya.”

Kata-kata ejen harta tanah tersebut menyerupai kata-kata penulis kitab Ibrani: “Pembina rumah lebih dimuliakan daripada rumah” (3:3). Penulis Ibrani membandingkan kesetiaan Yesus, iaitu Anak Tuhan, dengan nabi Musa (ayat 1-6). Walaupun Musa telah diberi keistimewaan untuk berbicara dengan Tuhan secara bersemuka dan melihat kemuliaan-Nya secara jelas (Bilangan 12:8), dia tetap hanya “seorang khadam” di rumah Tuhan (Ibrani 3:5). Kristus sebagai Pencipta alam semesta (1:2, 10), layak menerima kemuliaan sebagai “Pembina segalanya” dan sebagai Anak “ke atas seisi rumah-Nya” (3:4, 6). Rumah Tuhan ialah umat-Nya.

Apabila kita melayani Tuhan dengan setia, Yesus sebagai pembina Ilahi yang layak dimuliakan. Sebagai rumah Tuhan, apa pun bentuk pujian yang kita terima, pada dasarnya itu merupakan milik-Nya.