“Basuhlah aku!” Walaupun kata-kata tersebut tidak tertulis pada kenderaan saya, ia nampaknya sebegitu. Jadi, saya pun ke pusat cuci kereta, dan begitu juga dengan pemandu-pemandu lain yang hendak mencuci kenderaan mereka daripada kotoran dari permukaan jalan yang ditaburkan garam selepas turunnya salji. Deretan kenderaan di tempat tersebut adalah panjang, dan perkhidmatannya pula menjadi lambat. Namun waktu menunggu tersebut berbaloi. Saya beredar dengan sebuah kenderaan yang bersih, dan sebagai pampasan untuk perkhidmatan yang lewat, saya mendapat perkhidmatan mencuci kereta yang percuma!
Ada orang membayar harganya agar saya menjadi bersih—inilah injil Yesus Kristus. Melalui pengorbanan dan kebangkitan Yesus, Tuhan telah menyediakan pengampunan untuk segala dosa kita. Siapakah dalam kalangan kita yang tidak rasa perlunya untuk “mandi” apabila “kotoran dan daki” kehidupan telah berpaut pada diri kita? Apabila kita dinodai dengan fikiran atau tindakan mementingkan diri sendiri yang memudaratkan diri kita atau orang lain, serta merampas damai sejahtera kita dengan Tuhan? Mazmur 51 merupakan seruan Daud apabila kehidupannya dikuasai oleh godaan. Apabila Daud dicela oleh seorang mentor rohani tentang dosanya (lihat 2 Samuel 12), Daud memanjatkan doa ini: “Basuhlah aku”: “Bersihkan aku dengan hisop, supaya aku suci; basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji” (ayat 7). Adakah anda berasa kotor dan bersalah? Datanglah kepada Yesus dan ingatlah kata-kata ini: “Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (1 Yohanes 1:9).