Anjing kami yang bernama Winston tahu bahawa kami tidak membenarkannya menggigit kasut. Jadi Winston menggunakan satu strategi yang licik, iaitu secara jengket-jengket (berjalan perlahan-lahan dengan selamba). Jika Winston ternampak kasut diletakkan di suatu sudut, anjing ini akan sepintas lalu menuju ke arah kasut tersebut, mengambilnya dengan senyap dan terus berjalan. Perlahan, seperti tiada apa yang berlaku. Akhirnya Winston akan terus keluar dari pintu seolah-olah tiada sesiapa yang perasan. Masa itu anak saya akan berteriak, “Uh, ibu, Winston baru sahaja jengket-jengket bawa kasut ibu ke luar.”
Kadang-kadang kita berfikir bahawa kita dapat “jengket-jengket” dengan dosa kita untuk melepasi Tuhan. Kita tergoda untuk berfikir bahawa Tuhan tidak akan nampak. Kita merasionalkan bahawa ini bukanlah sesuatu masalah yang besar—walau apa pun “perkara” tersebut. Namun, seperti Winston, kita amat memahami bahawa pilihan-pilihan tersebut tidak menyenangkan hati Tuhan.
Seperti Adam dan Hawa di Taman Eden, kita mungkin cuba bersembunyi kerana malu dengan dosa kita (Kejadian 3:10) atau berpura-pura bahawa ia tidak berlaku. Akan tetapi, Alkitab meminta kita melakukan sesuatu yang sangat berlainan: berlari kepada belas kasihan dan pengampunan Tuhan. Amsal 28:13 memberitahu kita, “Orang yang menyembunyikan pelanggarannya tidak akan beruntung, tetapi sesiapa mengakui dan meninggalkannya akan mendapat rahmat.”
Kita tidak perlu cuba berjengket-jengket dengan dosa kita dan berharap bahawa tiada orang yang akan melihat. Apabila kita memperkatakan kebenaran tentang pilihan-pilihan kita—kepada diri kita sendiri, Tuhan, atau seorang sahabat yang dipercayai—kita dapat menemukan kebebasan daripada rasa bersalah dan malu atas beban dosa yang kita rahsiakan (1 Yohanes 1:9).