Malcolm Cloutt telah dinamakan sebagai penerima kehormat Maundy Money pada tahun 2021 oleh Ratu Elizabeth II, satu anugerah perkhidmatan tahunan yang disampaikan kepada lelaki dan wanita British. Cloutt, yang berumur seratus tahun pada masa pengiktirafan, diberi penghormatan tersebut kerana dia telah mengedarkan satu ribu buah Alkitab sepanjang hayatnya. Cloutt telah menyimpan rekod setiap orang yang menerima Alkitab daripadanya dan sentiasa mendoakan mereka.

Kesetiaan Cloutt dalam doa merupakan contoh yang berkuasa tentang jenis kasih yang kita temukan dalam seluruh penulisan Paulus dalam Perjanjian Baru. Paulus selalu meyakinkan penerima surat-suratnya bahawa dia sentiasa berdoa untuk mereka. Kepada sahabatnya Filemon, Paulus menulis, “Aku sentiasa bersyukur kepada Allahku dan menyebut namamu dalam doaku” (Filemon 1:4). Dalam suratnya kepada Timotius, Paulus menulis, “Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam” (2 Timotius 1:3). Kepada jemaah di Roma, Paulus menekankan bahawa dia “sentiasa” mengingati mereka “setap kali” dia berdoa (Roma 1:9-10, TMV).

Walaupun kita mungkin tidak mempunyai seramai seribu orang untuk kita doakan seperti Malcolm, doa yang penuh niat untuk kenalan kita adalah berkuasa kerana Tuhan menjawab doa kita. Apabila didorong dan diperkasakan oleh Roh-Nya untuk mendoakan individu yang tertentu, saya mendapati bahawa sebuah kalendar doa yang ringkas boleh menjadi alat yang berguna. Isikan nama-nama orang secara harian atau mingguan dapat menolong saya setia berdoa untuk mereka. Betapa indahnya kasih yang diperlihatkan apabila kita mengingati orang lain dalam doa kita.