Seorang pengarang yang bernama Scot McKnight, berkongsi tentang “pengalaman dicurahi Roh Kudus” sewaktu dia berada di sekolah menengah. Semasa dia menyertai sebuah kem, penceramah kem tersebut telah mencabar dia menerima Kristus dalam hidupnya dan dikuasai oleh Roh Kudus. Kemudian, dia duduk di bawah sebatang pokok dan berdoa, “Tuhan, ampunilah segala dosaku. Roh Kudus, masuklah dan penuhilah aku.” Sesuatu yang menakjubkan telah berlaku, kata Mcknight. “Sejak saat itu hidupku benar-benar berubah. Tidak sempurna tetapi berbeza.” Dia tiba-tiba ingin membaca Alkitab, berdoa, bertemu dengan orang Kristian yang lain dan melayani Tuhan.

Sebelum Yesus bangkit daripada kematian dan naik ke syurga, Dia berpesan kepada sahabat- sahabat-Nya: “Jangan meninggalkan Yerusalem. Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku” (Kisah Para Rasul 1:4). Mereka akan “menerima kuasa” dan “menjadi saksi-Nya di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi” (ayat 8). Tuhan memberikan Roh Kudus untuk mendiami setiap orang yang percaya kepada Yesus. Kali pertama ini berlaku pada Hari Pentakosta (lihat Kisah Para Rasul 2); hari ini seseorang akan mengalami ini bila-bila masa dia percaya kepada Kristus.

Roh Tuhan juga terus memenuhi orang yang percaya kepada Kristus. Dengan pertolongan Roh Kudus, kita juga akan membuahkan keperibadian dan keinginan yang mengalami perubahan (Galatia 5:22-23). Marilah kita memuji dan mensyukuri Tuhan kerana Dia memberi penghiburan, keinsafan, menyertai kita dan mengasihi kita.