Louise merupakan anak perempuan yang ceria dan riang dan membawa senyuman kepada semua orang yang bertemu dengannya. Namun ketika dia berumur lima tahun, Louise meninggal dunia secara tragis akibat penyakit yang jarang-jarang berlaku. Pemergiannya yang secara tiba-tiba telah mengejutkan ibu bapanya, Day Day dan Peter, serta semua kami yang bekerja dengan mereka. Kami turut bersedih bersama mereka.
Namun begitu, Day Day dan Peter telah menemukan kekuatan untuk meneruskan kehidupan mereka. Apabila saya bertanya kepada Day Day bagaimana mereka menghadapi kesedihan, dia memberitahu bahawa mereka memperoleh kekuatan dengan memfokuskan tempat yang Louise berada—dalam dakapan Yesus yang penuh kasih. “Kami bersukacita untuk anak perempuan kami, yang sudah tiba masanya untuk menikmati hidup kekal,” katanya. “Kerana berkat kasih kurnia dan kekuatan daripada Tuhan, kami dapat mengharungi kesedihan ini dan terus melakukan apa yang diamanahkan-Nya kepada kami.”
Penghiburan Day Day diperoleh dalam keyakinannya terhadap hati Tuhan yang menyatakan diri-Nya melalui Yesus. Harapan yang dikatakan dalam Alkitab jauh melebihi optimisme; ia merupakan suatu kepastian mutlak bahawa Tuhan tidak akan memungkiri janji-Nya. Dalam kesedihan, kita dapat berpaut pada kebenaran yang berkuasa ini, sebagaimana Paulus menggalakkan mereka yang bersedih kerana pemergian sahabat handai mereka: “Kita percaya bahawa Yesus telah mati dan hidup semula. Kita juga percaya bahawa mereka yang beriman kepada Yesus dan kemudiannya mati akan dihidupkan semula oleh Allah untuk hidup bersama-Nya” (1 Tesalonika 4:14). Semoga harapan yang pasti ini memberi kita kekuatan dan penghiburan pada hari ini—biarpun dalam kesedihan kita.