Sewaktu kami menghias gereja untuk satu acara istimewa, wanita yang bertanggungjawab terhadap acara tersebut merungut bahawa saya kurang berpengalaman. Selepas dia beredar, seorang wanita menghampiri saya, “Usah hiraukan kata-katanya. Dia merupakan seorang yang kita sebut sebagai K.K.T.D.—Kasih Kurnia Tambahan Diperlukan.”
Saya pun tertawa. Selepas itu saya mula menggunakan label tersebut setiap kali saya berselisih dengan seseorang. Bertahun-tahun kemudian, saya duduk di gereja yang sama itu untuk mendengar obituari wanita K.K.T.D tersebut. Pastor gereja berkongsi bagaimana wanita ini telah melayani Tuhan di sebalik tabir dan banyak membantu orang lain dengan murah hati. Saya memohon pengampunan Tuhan kerana saya telah menghakimi dan bergosip tentang dia dan setiap orang yang pernah saya label sebagai K.K.T.D. Lagipun, saya juga memerlukan kasih kurnia tambahan seperti orang percaya yang lain.
Dalam Efesus 2, rasul Paulus menyatakan bahawa semua orang percaya “secara tabii merupakan anak-anak yang dimurkai” (ayat 3). Akan tetapi, Tuhan telah mengurniai kita penyelamatan, satu kurnia yang kita tidak perlu melakukan apa-apa untuk layak mendapatkannya, satu kurnia yang tidak akan mampu kita usahakan “supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah” (ayat 9). Tiada sesiapa pun.
Apabila kita menyerahkan diri kita kepada Tuhan detik demi detik sepanjang hayat kita, Roh Kudus akan bekerja untuk mengubah sifat kita supaya kita dapat mencerminkan sifat Kristus. Setiap orang percaya memerlukan kasih kurnia tambahan. Namun begitu, kita bersyukur kerana kasih kurnia Tuhan itu cukup (2 Korintus 12:9).