Green Bank di Virginia Barat, merupakan sebuah komuniti kecil di Pergunungan Appalachian. Bandar tersebut menyerupai berpuluh-puluh buah pekan kecil yang lain di kawasan itu—tetapi dengan satu perbezaan yang besar. Tiada seorang pun daripada 142 orang penduduk di sana mempunyai akses kepada Wi-Fi. Hal ini adalah untuk mengelakkan gangguan dari menara-menara Wi-Fi atau telefon selular terhadap Balai Cerap Green Bank, yang sentiasa menghalakan teleskopnya ke langit. Oleh sebab itu, Green Bank merupakan salah sebuah kawasan yang paling “senyap” dari segi teknologi di Amerika Utara.
Kadang-kadang kesenyapan merupakan persekitaran yang paling sesuai untuk maju ke hadapan—terutamanya dalam hubungan kita dengan Tuhan. Yesus sendiri memberi contoh ini dengan mengasingkan diri ke tempat yang sunyi dan terpencil untuk bercakap dengan Bapa-Nya. Dalam Lukas 5:16 kita membaca, “Yesus beredar ke tempat yang sunyi dan berdoa.” Hal ini merupakan amalan biasa untuk Kristus, dan ini menjadi contoh yang sempurna untuk kita. Jika Pencipta alam semesta ini amat menyedari kebergantungan-Nya kepada Bapa-Nya, apatah lagi bagi kita?
Dengan mengasingkan diri ke tempat yang sunyi untuk disegarkan dalam hadirat Tuhan, kita boleh diperlengkap untuk maju ke hadapan dalam kekuatan-Nya yang membaharui kita. Di manakah anda dapat mencari tempat yang sebegini pada hari ini?