Seorang sahabat saya bertugas di sebuah kapal hospital yang bernama Africa Mercy Kapal ini menyediakan rawatan kesihatan yang percuma bagi negara-negara yang sedang membangun. Setiap hari, kakitangan kapal tersebut akan mengubati beratus-ratus orang pesakit, jika tidak penyakit mereka tidak akan diperhatikan.

Krew televisyen yang kadangkala menaiki kapal tersebut menghalakan kamera mereka terhadap kakitangan perubatan yang hebat, yang merawat lelangit sumbing dan membetulkan kaki tombol. Kadang-kadang mereka akan mengunjungi dek bawahan untuk menemu bual ahli-ahli krew yang lain, tetapi kerja yang dilakukan oleh Mick biasanya tidak diberikan sebarang perhatian.

Mick, seorang jurutera, mengaku bahawa dia terkejut tentang tempat yang dia bertugas—di loji kumbahan kapal. Dengan sebanyak empat puluh ribu liter sisa yang dihasilkan setiap hari, tugas pengurusan bahan toksik ini merupakan kerja yang penting. Tanpa Mick yang menyelenggarakan paip dan pam loji, operasi Africa Mercy untuk menyelamatkan nyawa akan terhenti.

Memang mudah untuk memberikan pujian kepada mereka yang berada di “dek teratas” dalam pelayanan Kristian dan terlepas pandang pula “pekerja bawahan” yang bertugas di ruang dapur. Apabila orang Korintus meninggikan kumpulan orang yang mempunyai kurnia luar biasa, Paulus memperingatkan mereka bahawa setiap orang percaya memainkan peranan dalam pekerjaan Kristus (1 Korintus 12:7-20), dan setiap kurnia adalah penting, sama ada kurnia untuk menyembuhkan ataupun menolong orang lain (ayat 27-31). Sebenarnya, semakin kurang menonjol peranannya, semakin besar penghormatan yang layak diberikan (ayat 22-24).

Adakah anda merupakan orang yang berada di “dek bawahan”? Kalau begitu, angkatlah kepala anda dengan tinggi. Pekerjaan anda diperkenankan oleh Tuhan dan amat perlukan.