Bertahun-tahun dahulu, sebuah kereta api yang membawa 218 orang penumpang tergelincir dari landasannya di barat laut Sepanyol. Kemalangan tersebut telah meragut nyawa 79 orang penumpang dan 66 orang lagi dimasukkan ke hospital. Pemandu kereta api tersebut tidak dapat menjelaskan kemalangan itu, tetapi rakaman video mendedahkan apa yang telah berlaku. Kereta api tersebut bergerak terlalu laju sebelum mendekati sebuah selekoh maut. Had laju yang dibenarkan telah ditetapkan untuk melindungi semua penumpang di dalam kereta api. Walaupun pemandunya merupakan pemandu veteran selama tiga puluh tahun untuk syarikat kereta api kebangsaan Sepanyol, tetapi entah apa alasannya dia tidak menghiraukan had laju yang ditetapkan. Akibatnya, ramai orang kehilangan nyawa mereka.

Dalam Ulangan 5, Musa telah merujuk semula perintah dalam perjanjian asal Tuhan untuk umat-Nya. Musa telah menggalakkan generasi baharu untuk menganggap arahan Tuhan sebagai perjanjian yang diikat mereka sendiri dengan Tuhan (ayat 3), kemudian Musa menyebut semula Sepuluh Hukum Tuhan (ayat 7-21). Dengan mengulangi Sepuluh Hukum tersebut dan mempelajari pengajaran daripada generasi terdahulu yang tidak mentaati Tuhan, Musa menggesa orang Israel supaya mereka mengingat kasih setia Tuhan dengan penuh hormat, rendah diri dan prihatin. Tuhan telah menyediakan jalan untuk umat-Nya supaya mereka tidak membinasakan kehidupan mereka atau kehidupan orang lain. Jika mereka tidak mengendahkan hikmat Tuhan, mereka akan menanggung akibatnya.

Pada hari ini, dengan pimpinan Tuhan, marilah kita menjadikan seluruh Alkitab sebagai hikmat, penasihat dan landasan untuk kehidupan kita. Dengan bimbingan Roh Kudus, kita pasti akan terus kekal di atas landasan dalam perlindungan Tuhan dan mengabdikan hidup kita dengan sepenuh hati kepada-Nya.