Ketika nenek angkat kami terlantar di hospital setelah beberapa kali mengalami serangan strok, doktor tidak pasti tahap kerosakan otaknya. Mereka perlu menunggu sehingga nenek pulih sedikit sebelum menguji fungsi otaknya. Dia jarang bercakap, dan pertuturannya sukar difahami. Tetapi apabila wanita yang berumur lapan puluh enam tahun yang telah menjaga anak perempuan saya selama dua belas tahun itu melihat saya, dia membuka mulutnya yang kering dan bertanya: “Kayla apa khabar?” Perkataan pertama yang diucapkannya kepada saya adalah tentang anak saya yang amat disayanginya.
Yesus juga mengasihi kanak-kanak dan mengutamakan mereka walaupun dihalang oleh pengikut-pengikut-Nya. Beberapa orang ibu bapa telah mencari Yesus dan membawa anak-anak mereka kepada-Nya. Dia memilih untuk memberkati anak-anak itu ketika Dia meletakkan tangan-Nya ke atas mereka (Lukas 18:15). Tetapi bukan semua orang gembira ketika Yesus memberkati anak-anak kecil tersebut. Para pengikut Yesus memarahi ibu bapa tersebut dan meminta mereka supaya berhenti mengganggu Yesus. Tetapi Dia mencelah dan berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku” (ayat 16). Dia menggambarkan mereka sebagai contoh bagaimana kita seharusnya menerima kerajaan Tuhan—dengan sepenuh harapan, kepercayaan dan keikhlasan.
Kanak-kanak jarang mempunyai agenda yang tersembunyi. Apa yang anda lihat, itulah yang anda dapat. Semasa Bapa yang di syurga menolong kita memulihkan kepercayaan seperti seorang anak, semoga iman dan kebergantungan kita kepada-Nya terbuka seperti seorang anak.