“Kamu seperti Musa, memimpin kami keluar daripada perhambaan!” teriak Jamila. Sebagai seorang pekerja tanur bata yang dibelenggu di Pakistan, dia dan keluarganya menderita kerana hutang yang terlalu banyak dengan pemilik tanur. Mereka menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka hanya untuk membayar bunga hutang. Tetapi apabila mereka menerima sumbangan daripada sebuah agensi yang tidak berasaskan keuntungan serta melepaskan mereka daripada hutang tersebut, mereka berasa amat lega. Sebagai ucapan terima kasih kepada wakil agensi itu, Jamila, seorang yang percaya kepada Yesus, merujuk kepada peristiwa apabila Tuhan membebaskan Musa dan umat Israel daripada perhambaan.
Orang Israel telah ditindas oleh orang Mesir selama ratusan tahun sebagai buruh paksa. Mereka berseru kepada Tuhan, meminta pertolongan-Nya (Keluaran 2:23). Tetapi kerja yang diterima makin bertambah, kerana firaun yang baru bukan hanya menyuruh mereka membuat bata, tetapi juga mengumpulkan jerami untuk bata tersebut (5:6-8). Ketika orang Israel terus berseru disebabkan penindasan itu, Tuhan mengulangi janji-Nya untuk menjadi Tuhan mereka (6:7). Tidak lama selepas itu mereka pun dibebaskan, kerana Dia menebus mereka dengan “lengan yang terhulur” (ayat 6).
Dengan perintah Tuhan, Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir (lihat fasal 14). Hari ini Tuhan masih membebaskan kita melalui lengan Anak-Nya yang terhulur iaitu Yesus di kayu salib. Kita telah dibebaskan daripada perhambaan yang jauh lebih besar daripada dosa yang memperhambakan kita sebelum ini. Kita bukan lagi hamba, tetapi sudah bebas!