Selepas satu pembedahan yang tidak berjaya, doktor yang merawat Joan berkata bahawa Joan perlu menjalani satu lagi pembedahan dalam masa lima minggu. Masa berlalu, dan kekhuatiran muncul. Joan dan suaminya merupakan warga emas dan semua ahli keluarga mereka tinggal berjauhan. Mereka perlu memandu untuk pergi ke kota yang asing untuk berurusan dengan sistem hospital yang rumit, dan jumpa dengan seorang doktor pakar yang baru.
Walaupun keadaan ini nampaknya sukar, Tuhan menjaga mereka. Semasa dalam perjalanan, sistem navigasi kereta mereka rosak, tetapi mereka sampai tepat pada masanya kerana mereka ada peta kertas. Tuhan memberikan kebijaksanaan. Di hospital itu, seorang pastor Kristian berdoa dengan mereka dan menawarkan pertolongan. Tuhan menolong mereka. Selepas pembedahan, Joan menerima berita baik bahawa pembedahan tersebut telah berjaya.
Kita tidak akan sentiasa mengalami kesembuhan atau penyelamatan, tetapi Tuhan kita setia dan selalu dekat kepada orang yang memerlukan bantuan—sama ada muda, tua, ataupun orang yang susah. Berkurun-kurun tahun yang lalu, ketika penawanan di Babel telah melemahkan orang Israel, Yesaya memperingatkan mereka semula bahawa Tuhan menjaga mereka sejak lahir dan akan terus memelihara mereka. Melalui nabi, Tuhan berkata, “Sampai masa tuamu Aku tetap Dia dan sampai masa rambutmu beruban Aku akan menanggung kamu” (Yesaya 46:4).
Tuhan tidak akan meninggalkan kita ketika kita amat memerlukan-Nya. Dia menyediakan semua keperluan kita dan memperingatkan kita bahawa Dia bersama dengan kita setiap saat. Dia ialah Tuhan yang berkuasa ke atas kehidupan seharian kita.