Robert Todd Lincoln hidup di bawah bayangan bapanya, iaitu presiden kesayangan rakyat Amerika, Abraham Lincoln. Identiti Robert masih dikongkong oleh kuasa kehadiran bapanya walaupun bapanya sudah lama meninggal dunia. Rakan karib Lincoln iaitu Nicholas Murray Butler menulis bahawa Robert selalu berkata, “Tiada orang mahu saya menjadi setiausaha perang; mereka mahu anak lelaki Abraham Lincoln menjadi setiausaha perang. Tiada orang mahu saya menjadi duta di England; mereka mahu anak lelaki Abraham Lincoln. Tiada orang mahu saya menjadi presiden bagi Syarikat Pullman; mereka mahu anak lelaki Abraham Lincoln.”

Kekecewaan seperti itu bukan hanya terjadi kepada anak-anak orang yang terkenal. Setiap kita sudah biasa dengan perasaan tidak dihargai. Tetapi nilai diri kita tidak dapat ditemui di mana-mana kecuali melalui cara Tuhan membuktikan kasih-Nya terhadap kita.

Rasul Paulus berkata kita dahulunya ialah orang yang hidup dalam dosa, , dan siapa kita sekarang dalam Kristus. Dia menulis, “Lihatlah, tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, Kristus telah mati untuk orang yang fasiq” (Roma 5:6). Tuhan mengasihi kita kerana siapa kita—meskipun dalam keadaan kita yang paling teruk. Paulus menulis, “Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita” (ayat 8). Kita sangat berharga di mata Tuhan, sehingga Dia mengorbankan Anak-Nya untuk mati di kayu salib demi kita.

Siapakah kita? Kita ialah anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya. Tiada apa-apa yang lebih berharga daripada fakta ini.