Ketika Xavier masih belajar dalam sekolah rendah, sayalah yang menghantar dan mengambilnya dari sekolah. Pada suatu hari, satu hal yang tidak dirancang telah terjadi. Akibatnya saya terlewat mengambilnya. Selepas meletak kereta, saya bergegas ke kelasnya sambil berdoa. Saya mendapati dia sedang duduk di atas bangku bersama dengan seorang guru sambil memeluk begnya. “Maafkan saya, Mijo. Kamu baik-baik saja?” Dia menghela nafas dan berkata, “Saya baik-baik saja, tapi saya marah kerana kamu lambat.” Bagaimana mungkin saya menyalahkannya? Saya pun marah kepada diri sendiri. Saya menyayangi anak saya, tetapi saya sedar saya selalu mengecewakannya. Saya juga tahu dia mungkin akan berasa dikecewakan oleh Tuhan pada suatu hari nanti. Maka saya berusaha untuk mengajarnya bahawa Tuhan tidak sesekali melupakan janji-Nya.
Mazmur 33 mendorong kita meraikan kesetiaan Tuhan dengan penuh puji-pujian (ayat 1-3), kerana “firman TUHAN itu benar, dan semua kerja-Nya dilakukan dengan kesetiaan” (ayat 4). Dengan menggunakan dunia ciptaan Tuhan sebagai bukti nyata kuasa-Nya dan kebolehpercayaan kepada-Nya (ayat 5-7), pemazmur mengajak “semua penghuni bumi” untuk menyembah Tuhan (ayat 8).
Apabila rancangan kita gagal atau orang mengecewakan kita, kita boleh tergoda untuk berasa kecewa terhadap Tuhan. Bagaimanapun, kita dapat bersandar pada Tuhan kerana rancangan-Nya “bertapak selama-selamanya” (ayat 11). Kita dapat memuji Tuhan walaupun dalam keadaan kucar-kacir kerana Pencipta kita yang maha pengasih memelihara semua orang dan segala-galanya. Tuhan setia selama-lamanya.