Pada tahun 2013, sekitar enam ratus orang penonton menyaksikan ahli udara iaitu Nik Wallenda berjalan di atas tali yang telah diregangkan untuk merentasi gaung selebar 450 meter berhampiran Grand Canyon. Wallenda melangkah ke atas kabel besi setebal 2 inci dan bersyukur kepada Yesus untuk pemandangan yang menakjubkan ini, ketika kamera yang dipasang pada kepalanya mengarah ke lembah di bahagian bawah. Dia berdoa dan memuji Yesus ketika berjalan merentasi gaung dengan tenang seperti sedang berjalan di laluan pejalan kaki. Ketika keadaan angin membahayakan, dia berhenti dan mencangkung. Dia berdiri semula dan setelah mendapatkan semula keseimbangan, dia bersyukur kepada Tuhan kerana “menenangkan kabel itu”. Dengan setiap langkah di atas tali itu, dia menunjukkan kebergantungannya pada kuasa Kristus kepada semua orang yang mendengarnya pada saat itu dan sekarang, ketika video itu ditonton di seluruh dunia.

Apabila angin ribut menyebabkan ombak melanda para pengikut Yesus di Laut Galilea, ketakutan menyelubungi dan mereka pun meminta tolong (Markus 4:35-38). Selepas Yesus meredakan badai itu, mereka pun menyedari bahawa Dia dapat mengawal ribut dan segala-galanya (ayat 39-41). Perlahan-lahan mereka belajar untuk bertumbuh dalam kepercayaan mereka kepada-Nya. Pengalaman peribadi mereka dapat membantu orang lain menyedari tentang kuasa Kristus yang luar biasa.

Ketika kita mengalami badai kehidupan atau berjalan di atas tali regang kepercayaan kita, yang diregangkan untuk merentasi lembah penderitaan yang dalam, kita dapat memperlihatkan iman kita dalam kuasa Kristus. Tuhan akan menggunakan perjalanan iman kita untuk mendorong orang lain supaya berharap kepada-Nya.