Dalam bukunya yang bertajuk Margin, Dr. Richard Swenson menulis, “Kita mesti memiliki ruang untuk bernafas. Kita memerlukan kebebasan untuk berfikir dan keizinan untuk dipulihkan. Perhubungan kita mati kebuluran kerana kelajuan … Anak-anak kita terluka dan terbaring di atas tanah, kerana “dilanggar” oleh niat baik kita yang amat laju. Adakah Tuhan mulai menjadi letih sekarang? Dia tidak lagi memimpin orang ke air yang tenang? Siapakah yang merampas semua ruang yang luas terbuka pada masa lalu, dan bagaimanakah kita mendapatkannya semula?” Swenson berkata bahawa kita memerlukan “tanah” yang subur dan senyap dalam hidup agar kita dapat berehat dalam Tuhan dan bertemu dengan-Nya.

Adakah anda setuju dengan pendapat ini? Mencari tempat yang terbuka adalah sesuatu yang selalu dilakukan oleh Musa dengan baik. Musa memimpin bangsa yang “keras kepala” (Keluaran 33:5). Oleh itu dia selalu mengasingkan diri untuk mendapatkan ketenangan dan pimpinan dalam hadirat Tuhan. Dalam Khemah Pertemuan yang dipasangnya (ayat 7), “Berfirmanlah TUHAN kepada Musa secara berhadapan muka, sama seperti manusia bercakap dengan sahabatnya” (ayat 11). Yesus juga “beredar ke tempat yang sunyi dan berdoa” (Lukas 5:16). Yesus dan Musa menyedari kepentingan untuk meluangkan masa sunyi bersendirian dengan Bapa.

Kita juga perlu mendirikan batas dalam hidup kita dengan menyediakan ruang yang luas dan terbuka untuk bertenang dan berdiam dalam hadirat Tuhan. Meluangkan masa bersama-Nya akan membantu kita membuat keputusan yang lebih baik—mendirikan batas dan sempadan yang sihat dalam hidup kita, supaya kita dapat memiliki kapasiti mental yang tersedia untuk mengasihi-Nya dan orang lain.

Marilah kita mencari Tuhan di ruang yang terbuka pada hari ini.