“Lebah-lebah kamu sedang berpindah!” kata isteri saya sambil memasukkan kepalanya melalui pintu dan memberikan saya berita yang tidak ingin didengari oleh penternak lebah. Saya berlari keluar lalu melihat beribu-ribu lebah sedang terbang dari sarangnya menuju ke puncak pokok pain yang tinggi. Lebah-lebah ini tidak akan kembali lagi.
Saya agak ketinggalan untuk mengesan petanda bahawa kawanan lebah itu akan berpindah; saya tidak dapat memeriksa lebah-lebah saya disebabkan ribut yang berlangsung selama seminggu. Sejurus ribut berakhir pada suatu pagi, lebah pun pergi. Koloni lebah itu adalah baharu dan sihat, dan lebah-lebah itu sebenarnya telah membahagikan koloni itu untuk memulakan koloni yang baharu. “Jangan salahkan diri sendiri,” seorang penternak lebah yang berpengalaman memberitahu saya dengan ceria selepas melihat kekecewaan saya. “Ini boleh berlaku kepada semua orang!”
Galakan ialah kurnia yang menarik. Ketika Daud berputus asa kerana Saul ingin membunuhnya, anak Saul iaitu Yonatan memberi galakan kepada Daud. Yonatan berkata, “Jangan takut. Tangan Saul, ayahku, tidak akan dapat menangkap kamu. Engkau akan menjadi raja atas orang Israel dan aku akan menjadi orang kedua di bawahmu. Saul, ayahku, tahu juga tentang hal itu” (1 Samuel 23:17).
Itulah yang dikatakan oleh seorang yang tidak mementingkan diri sendiri dan bakal mewarisi takhta. Kemungkinan besar Yonatan menyedari bahawa Tuhan menyertai Daud, jadi dia bercakap atas dasar iman dengan rendah hati.
Setiap orang di sekeliling kita memerlukan galakan. Tuhan akan menolong kita untuk membantu mereka ketika kita merendahkan diri di hadapan-Nya dan meminta-Nya untuk mengasihi mereka melalui kita.