Saya duduk dalam keheningan pada penghujung hari kerja, dengan komputer riba saya diletakkan di hadapan saya. Saya sepatutnya gembira dengan kerja yang telah diselesaikan pada hari itu, tetapi tidak. Saya penat. Bahu saya sakit dengan beban kebimbangan mengenai masalah di tempat kerja, dan fikiran saya dipenuhi dengan hubungan yang bermasalah. Saya mahu melarikan diri daripada semua itu, saya hanya mahu menonton TV pada malam itu.

Tetapi saya menutup mata. “Ya Tuhan,” saya berbisik. Saya terlalu penat untuk bercakap lebih banyak. Semua kepenatan saya terkandung dalam perkataan itu. Kemudian dengan segera saya menyedari apa yang sepatutnya saya lakukan.

“Marilah ke sisi-Ku,” kata Yesus kepada kita yang penat dan lelah, “Aku akan memberimu kelegaan” (Matius 11:28). “Kelegaan” bukan merujuk kepada tidur yang nyenyak pada waktu malam; bukan melarikan diri daripada realiti hidup dengan menonton televisyen; bahkan bukan merujuk kepada perasan lega apabila masalah diselesaikan. Meskipun semua ini ialah cara yang baik untuk rehat, kelegaan yang ditawarkan hanya untuk sementara dan bergantung pada keadaan kita.

Sebaliknya, rehat yang diberikan oleh Yesus adalah kekal dan dijamin oleh sifat-Nya yang tidak berubah. Dia sentiasa baik. Dia memberi jiwa kita rehat yang sebenar walaupun kita berada di tengah kesusahan, kerana kita tahu bahawa segala sesuatu dalam kawalan-Nya. Marilah percaya dan berserah kepada-Nya, bertahan bahkan berjuang dalam situasi yang sukar kerana hanya Dia yang dapat memberikan kekuatan dan pemulihan.

“Marilah ke sisi-Ku,” Yesus memanggil kita. “Marilah ke sisi-Ku.”