Dalam Besbol Bip yang direka khas untuk pemain buta, bola yang berbunyi bip atau batang pemukul yang berdengung akan membantu pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan ke mana hendak pergi. Pemukul boleh yang memakai penutup mata (menurut pelbagai tahap kebutaan yang berbeza) dan pelempar yang boleh melihat berada dalam pasukan yang sama. Apabila si pemukul menghayunkan batang pemukul dan memukul bola bip, dia harus berlari ke arah pangkalan yang berdengung. Dia akan terkeluar jika pemadang “membendung” bola sebelum pemukul itu sampai ke pangkalan; jika tidak, dia akan mendapat markah. Seorang pemain berkata bahawa bahagian terbaik ialah dia merasakan “kebebasan besar sewaktu berlari” kerana dia tahu ada laluan dan hala tuju yang jelas.

Kitab Yesaya memberitahu kita bahawa Tuhan, “Yang Maha Tulus, meratakan jalan orang benar” (26:7). Ketika ini ditulis, jalan bagi orang Israel kelihatan tidak lancar; mereka telah mengalami penghakiman Tuhan disebabkan ketidaktaatan mereka. Yesaya menasihati umat Tuhan supaya melangkah dalam perjalanan iman dan ketaatan, yang selalunya sukar tetapi lancar, serta mendorong mereka berfokus untuk menjadikan nama dan kemasyhuran Tuhan (ayat 8) sebagai kesukaan hati mereka.

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita dapat mengetahui lebih tentang Tuhan dan membina kepercayaan kita terhadap karakter-Nya yang setia ketika kita menuruti jalan-Nya. Perjalanan hidup kita tidak sentiasa kelihatan lancar atau indah, tetapi kita percaya bahawa Tuhan menyertai dan meluruskan jalan bagi kita. Kita juga dapat merasakan kebebasan ketika kita berlari dalam ketaatan di atas jalan Tuhan.