Semasa melawat ke Ireland, saya terpegun melihat betapa banyaknya produk hiasan syamrok (lambang kebangsaan Ireland). Tumbuhan hijau yang kecil dan berdaun tiga itu dapat ditemukan hampir pada setiap barang jualan—pakaian, topi, barang kemas dan sebagainya!
Syamrok bukan sekadar tumbuhan prolifik di seluruh Ireland, malah tumbuhan ini diakui oleh generasi terdahulu sebagai cara yang mudah untuk menerangkan konsep Tritunggal, iaitu orang Kristian percaya bahawa Tuhan ialah Satu Ilahi yang wujud kekal dalam tiga peribadi yang tersendiri, iaitu Allah Bapa, Allah Anak, dan Allah Roh Kudus. Walaupun semua penjelasan manusia tentang Tritunggal tidak cukup, syamrok ialah satu simbol yang berguna kerana ia merupakan tiga helai daun yang berasal dari satu pohon.
Perkataan Tritunggal tidak terdapat dalam Alkitab, tetapi ia merumuskan kebenaran teologi yang kita lihat secara eksplisit dalam petikan yang memperlihatkan ketiga-tiga peribadi Tritunggal yang hadir pada masa yang sama. Apabila Yesus, yakni Allah Anak dibaptis, Allah Roh Kudus kelihatan turun dari syurga “seperti burung merpati,” dan suara Allah Bapa kedengaran berfirman, “Engkaulah Anak-Ku” (MARKUS 1:10-11).
Orang Ireland yang percaya kepada Yesus menggunakan syamrok kerana mereka ingin membantu manusia mengenal Tuhan. Apabila kita semakin memahami keindahan Tritunggal, kita turut dibantu untuk mengenal Tuhan dan keupayaan kita diperdalam untuk menyembah-Nya “dalam roh dan kebenaran”(YOHANES 4:24).