Beberapa bulan selepas mengalami keguguran, Valerie memutuskan untuk mengadakan jualan garaj. Gerald, seorang tukang kayu dan jiran yang tinggal beberapa kilometer jauhnya, tanpa teragak-agak telah membeli katil bayi yang dijual Valerie. Semasa di sana, isterinya telah berbual dengan Valerie dan mendapat tahu tentang kehilangan kandungannya. Selepas mendengar keadaan Valerie dalam perjalanan pulang, Gerald memutuskan untuk membuat cenderamata sebagai kenang-kenangan bagi Valerie dengan menggunakan katil bayi itu. Seminggu kemudian, dengan linangan air mata, Gerald menghadiahinya sebuah bangku yang indah. “Ada orang baik di luar sana, dan inilah buktinya,” kata Valerie.
Seperti Valerie, Rut dan Naomi juga mengalami kehilangan yang besar. Suami dan dua orang anak lelaki Naomi telah meninggal dunia. Sekarang dia dan menantunya Rut yang kematian suami tidak mempunyai waris dan tempat bergantung (RUT 1:1-5). Pada masa itulah Boas muncul dalam hidup mereka. Apabila Rut pergi ke ladang untuk mengutip bulir-bulir barli, Boas—pemilik ladang itu—bertanya tentang dia. Apabila Boas mengetahui siapa Rut, dia bersikap baik terhadapnya (2:5-9). Rut yang kehairanan pun bertanya, “Mengapa saya menerima ihsan besar sebegini daripada tuan?” (AYAT 10). Boas menjawab, “Sudah dilaporkan kepadaku dengan lengkap segala sesuatu yang engkau lakukan demi mertuamu susulan kematian suamimu” (AYAT 11).
Boas kemudiannya mengahwini Rut dan menyara Naomi (FASAL 4). Melalui perkahwinan mereka, nenek moyang Daud—dan Yesus—dilahirkan. Sebagaimana Tuhan memakai Gerald dan Boas untuk menolong orang lain mengubah kesedihan mereka, Dia bekerja melalui kita untuk menunjukkan kebaikan dan empati kepada orang lain yang dalam penderitaan.